5 Kemahiran Yang Anda Wajib Ada Untuk Menguruskan Media Sosial

Zaman sekarang ini, ramai orang menghabiskan masa di media sosial.

Hari-hari dok scroll newsfeeds.

Ada yang pilih untuk bersantai di Facebook.

Ada yang berkumpul di Instagram dan Twitter.

Sekarang ini pun dah ramai orang mula berkumpul di TikTok.

Jadi, sebagai orang bisnes, anda pun bukalah akaun media sosial di pelbagai platform yang ada dengan tujuan memperkenalkan produk atau servis anda. Selain itu, dengan adanya akaun media sosial ini, audiens dan pelanggan akan rasa lebih dekat dengan anda.

Oleh itu, dalam menguruskan setiap media sosial, anda perlu belajar beberapa kemahiran penting supaya audiens dan pelanggan rasa selesa dengan anda. Kalau mereka dah rasa selesa tu, apa lagi, kaching-lah!

Senang-senang saja mereka nak membeli produk dan servis anda sebab mereka dah percayakan anda.

Seronok kan kalau macam ni?

Mari kita lihat kemahiran-kemahiran yang anda perlu gilap untuk menguruskan akaun media sosial dengan cemerlang.

1. Penulisan

Apabila membuat konten di mana-mana media sosial, kemahiran penulisan ini adalah salah satu kemahiran yang sangat penting. Banyak perkara yang perlu anda tulis.

Walaupun konten yang anda buat itu dalam bentuk gambar atau video sekalipun, ia tetap memerlukan kapsyen serta deskripsi video. Sesetengah media sosial mempunyai had perkataan, jadi anda perlu bijak menulis dengan ringkas dan menarik perhatian.

Di media sosial ini, salah satu jenis penulisan yang perlu anda kuasai ialah copywriting.

Apa Itu Copywriting?

Copywriting ini dalam bahasa mudahnya ialah penulisan iklan.

Kebiasaannya pada bahagian akhir copywriting itu, ada langkah mudah supaya orang bertindak untuk membeli. Boleh jadi dengan klik pautan untuk mesej di WhatsApp atau terus membuat pembelian di laman web.

Ciri-ciri Penulisan Copywriting Yang Berkesan

  1. Headline yang menangkap perhatian pembaca untuk berhenti scroll newsfeeds.
  2. Struktur penulisan yang mudah dibaca seperti menggunakan bullet.
  3. Call-to-action (CTA) yang jelas.

 

Selain copywriting, anda juga perlu mahir menulis konten yang menambah nilai kepada pembaca. Misalnya konten seperti fakta menarik, petua, panduan dan cara buat sesuatu. Konten sebegini akan buat audiens rasa seronok dan ternanti-nanti update daripada media sosial anda.

Nak tahu tak, ramai orang menilai seseorang atau sesebuah bisnes melalui media sosial mereka. Jadi, anda perlu pastikan penulisan anda mempunyai tone voice yang tersendiri.

Tone voice ini boleh jadi:

  • Profesional
  • Santai
  • Kelakar

 

Tak kisahlah tone voice bagaimana yang anda pilih untuk diri atau bisnes anda, tapi anda perlu pastikan ia konsisten dalam setiap penulisan.

Tone voice yang konsisten ini akan membuatkan orang mudah ingat pada anda.

Apabila sebut tentang anda, orang akan kata, “Oh, dia ni yang suka buat pickup line kelakar tu!” Ini kalau anda suka masukkan pickup line dalam penulisanlah.

Apa-apa pun penulisan yang baik adalah penulisan yang mudah dibaca dan senang difahami.

2. Khidmat Pelanggan

Media sosial merupakan saluran penting yang orang akan cari untuk mengenali sesuatu bisnes serta produk atau servis yang ditawarkan.

Ia juga tempat sesebuah bisnes membina hubungan dengan audiens. Jadi, sebagai pemilik akaun, anda perlu komited terhadap pelbagai isu pelanggan.

Anda pasti pernah lihat akaun media sosial bisnes terkemuka yang lain kan? Anda akan perasan perkara-perkara ini pada bahagian komen iaitu:

  • Audiens yang bertanya tentang maklumat terperinci produk atau servis
  • Audiens yang mahu tahu cara membuat pembelian
  • Pelanggan yang membuat aduan tentang sesuatu produk
  • Pelanggan yang memberikan cadangan untuk penambahbaikan

 

Pelbagai isu yang anda akan terima sama ada melalui ruangan komen mahupun melalui mesej peribadi.

Sesetengah audiens dan pelanggan ini berharap segala pertanyaan dan isu mereka dibalas dengan cepat walaupun di luar waktu bekerja.

Oleh itu, mempunyai kemahiran khidmat pelanggan yang baik akan memberi satu tanggapan yang baik terhadap sesebuah bisnes. Kemahiran ini termasuklah:

  1. Komunikasi yang baik. Walaupun pelanggan menggunakan bahasa kasar dan marah-marah, anda perlu membalas dengan sopan dan profesional.
  2. Empati
  3. Menyelesaikan masalah

 

Menyediakan khidmat pelanggan yang baik akan membuatkan audiens dan pelanggan rasa dihargai. Semua maklum balas pelanggan boleh digunakan untuk menambah baik produk sedia ada. Malah maklum balas ini akan memberi idea untuk mengeluarkan produk baru yang menepati permintaan pelanggan.

3. Fungsi dan Algoritma Media Sosial

Fungsi Media Sosial

Setiap media sosial mempunyai fungsi yang berbeza.

Anda perlu mahir untuk menggunakan setiap fungsi yang ada supaya dapat mengoptimumkan konten anda di platform media sosial berkenaan.

Contohnya, di Facebook, selain update status bertulis, anda boleh muat naik gambar dan video, buat live dan juga masukkan story.

Memahami bagaimana sesuatu platform itu berfungsi akan memudahkan anda untuk membuat konten yang berkesan untuk setiap platform.

Misalnya, di Facebook tiada masalah untuk menulis konten yang panjang.

Di Twitter penulisan lebih pendek. Jika mahu sampaikan konten yang panjang boleh buat dalam bentuk thread.

Algoritma Media Sosial

Algoritma setiap media sosial berbeza antara satu sama lain.

Algoritma juga berubah dengan sangat pantas.

Sentiasa ada kemas kini terbaru bagi memenuhi keperluan pengguna.

Teknik pemasaran media sosial yang berkesan pada tahun lepas mungkin sudah tidak relevan pada tahun ini.

Jadi, anda perlu sesuaikan diri dengan setiap pembaharuan fungsi dan algoritma supaya anda tidak jauh ketinggalan. Anda juga perlu cakna dengan trend semasa media sosial. Seperti sekarang ini, konten berbentuk video pendek semakin mendapat perhatian berbanding jenis konten yang lain.

Kefahaman terhadap setiap platform akan memudahkan anda untuk menghasilkan konten yang menarik dan disukai oleh audiens.

4. Kreativiti

Semakin banyak bisnes yang mula menggunakan media sosial untuk meluaskan pemasaran mereka, terutama sejak pandemik Covid-19.

Apabila semakin banyak bisnes sudah memasuki pasaran dalam talian dan media sosial, semakin banyak juga konten yang dihasilkan.

Ini sesuatu yang bagus, namun cabarannya anda perlu lebih kreatif supaya konten yang anda cipta lebih menonjol berbanding orang lain.

Tip Supaya Konten Lebih Menonjol

  • Sentiasa mengambil tahu trend dan isu semasa.
  • Kaji konten yang mempunyai banyak komen, likes dan shares.
  • Sentiasa bereksperimen dengan strategi konten terbaru.

 

Menjadi satu bonus jika anda mempunyai kreativiti untuk menghasilkan visual konten yang menarik seperti menghasilkan poster dan mencipta konten video.

Kreativiti di media sosial sangat penting supaya konten anda menyentuh bukan sahaja minda audiens, malah emosi mereka.

Sebagai contoh, semasa tular isu tentang ikan siakap, ramai orang bercakap mengenainya. Jika anda mahir menggunakan isu ini untuk dikaitkan dengan bisnes anda, anda akan dapat perhatian audiens.

Lihat sahaja bagaimana Shopee menggunakan isu ikan siakap yang tular dengan mempromosikan ikan siakap yang boleh dibeli dengan harga yang lebih murah. Hasilnya, posting berkenaan mendapat banyak engagement dari segi komen, likes dan shares.

Namun, tidak semua isu yang tular itu anda perlu ikut, ambil mana yang boleh dikaitkan dengan bisnes anda.

5. Membuat Perancangan

Untuk memastikan media sosial anda kekal aktif, anda perlu membuat perancangan mengenai konten yang anda ingin sebarkan kepada umum.

Setiap konten pula mempunyai tujuan yang tersendiri iaitu:

  1. Konten yang khusus untuk mendidik audiens.
  2. Konten untuk menaikkan engagement dengan melibatkan audiens untuk memberi komen.
  3. Konten di sebalik tabir sesuatu bisnes.
  4. Konten untuk mempromosikan produk.

 

Setiap media sosial mempunyai keperluan yang berbeza.

Jika anda mempunyai akaun di pelbagai platform, anda perlu membuat perancangan konten bagi setiap akaun media sosial tersebut.

Perancangan konten dan strategi media sosial ini penting supaya objektif bisnes anda secara keseluruhannya dapat dicapai melalui medium media sosial.

Merancang konten media sosial juga membantu anda supaya tidak ketandusan idea untuk mencipta konten yang bermanfaat.


Kesimpulan

Sebenarnya ada banyak lagi kemahiran yang perlu anda kuasai untuk menguruskan akaun media sosial dengan baik. Lima kemahiran yang telah dibincangkan di atas antara kemahiran utama yang perlu anda asah supaya lebih tajam.

Anda boleh belajar dan melatih diri sedikit demi sedikit supaya mahir dengan kemahiran tersebut.

“Bagaimana kalau saya tidak ada masa untuk belajar semua kemahiran tersebut? Ada banyak perkara penting lain yang perlu saya fokuskan untuk bisnes saya ni…”

Kalau anda mengalami situasi seperti ini, anda boleh upah orang lain untuk menguruskan akaun media sosial anda. Bagi khidmat tersebut, anda juga boleh melantik TA Resources untuk membantu anda!