Aku, Dia & Ghostwriter

Bab 2 : Pertemuan

Hembusan bayu pagi menyapa lembut memesrai wajahnya yang disolek tipis. Deruman enjin kenderaan bertali arus sesekali menarik perhatian. Sesekali matanya berkedip disapa angin bayu. Langkah diatur kemas melalui luar kaki bangunan dua tingkat yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti manusia yang tidak pernah sepi dan lengang.

Matanya berhenti seketika di hadapan pejabat TA. Dahinya berkerut. Akal yang dikurnia Allah tidak berhenti berfikir. Apakah syarikat yang menawarkan servis menyunting manuskrip mampu membina empayar? Hei! Ada pejabat? Sebelum ini dia membayangkan editor yang diupah oleh PA-nya hanya melakukan kerja dari rumah. Bukan besar pun pendapatan mereka, agaknya? Takkan sampai mampu menyewa sebuah bangunan pejabat. Ah! Kenapalah dia berfikir sampai situ. Rezeki orang. Apa hak dia untuk mempertikai hal itu? Nadia mengeluh perlahan.

“Nadia.”
Maimun yang setia di sisi mencuit bahu penulis yang diuruskannya itu. Mata mereka saling bertembung.

“Kau pergi ke mana? Berkali-kali aku panggil, kau buat tak tahu. Jauh sangat perjalanan kau, ke mana sesatnya?” usik Maimun yang sudah berada di hadapan pintu cermin pejabat syarikat penyedia konten tersebut.

Nadia menyerngih. Itulah seorang penulis, setiap langkahnya punya cerita dan ada aksara untuk dicatit menjadi sebuah cerita. Mungkin benar agaknya, penulis suka berkhayal tidak kira masa dan tempat. Biarlah, bukankah dia seorang penulis? Apa yang hendak dihairankan? Mereka berdua melangkah masuk, kasut dibuka dan diletak di rak yang tersedia di sebelah kiri pintu masuk.

“Saya ada temu janji dengan Cik Puan Suhana Rania. Dia ada, kan?” Maimun menunduk hormat.
“Cik Puan berdua sila duduk dulu, sebentar lagi Cik Puan Suhana turun. Beliau ada mesyuarat,” beritahu penyambut tetamu yang memakai jubah berwarna polos.

Maimun dan Nadia mengangguk. Mereka mendekati sofa yang diletakkan di luar legar pejabat tersebut. Pada dinding sebelah kanan tertulis ‘TA: Setiap Transkrip Ada Cerita’.

“Hebat syarikat ini ya? Tak sangka pula aku jadi editor sampai boleh buka pejabat?” soal Nadia masih berprasangka. Sukar untuk dia mempercayainya.

“Macam kaulah, jadi penulis biasa-biasa saja, tapi boleh upah pembantu peribadi. Ini …” sambil menghala telunjuk kepada dirinya. Maimun menyengih.

Eee, kau lain. Ayah yang bayar. Kalau harapkan aku, mana mampu? Ingat senang nak jadi penulis kaya? Setakat terjual 3,000 buah untuk sebuah buku tak boleh mengkayakan aku pun,” luah Nadia.

Hakikat yang sukar ditelan. Nasib baik karya terbaharunya itu telah disunting semula. Pembaca memuji-muji isi kandungan yang telah dibaik pulih itu. Maimun adalah sepupunya, mereka sebaya. Ayah membayar Maimun untuk menguruskan perjalanan kariernya. Dia tidak membantah kerana bukan dia yang perlu mengeluarkan duit untuk membayar gaji Maimun. Lagipun seronok juga ada orang uruskan dirinya. Ala, macam di luar negara itu, dengar kata penulis di sana ada ejen yang uruskan. Ayahnya ingin seperti itulah. Biar nampak profesional. Teratur dan tersusun. Kalau ingin lakukan sesuatu, lakukan dengan bersungguh-sungguh. Barulah berbaloi. Maimun tersengih lagi.

“Apa maksud transkrip ya?” Nadia ingin tahu.

Tampak pelik bunyinya sebab setahu dia, transkrip akademik dia tahulah. Ini … takkan mereka keluarkan transkrip keputusan peperiksaan untuk pelajar sekolah atau IPTA? Pelik rasanya. Dia mengeluh.

“Nanti kau tanyalah. Aku pun kurang faham,” ujar Maimun sambil matanya memandang sekeliling ruang pejabat yang disusun atur dengan begitu kemas. Penuh tona pastel nan lembut dan menyamankan. Sedap mata memandang. Rak buku menjadi hiasan utama dalam bilik tersebut. Jambangan bunga orkid menghias sudut dinding.

“Maaflah Cik Puan Maimun… saya terlambat pula,” sapa seorang perempuan berkaca mata, bertudung polos berwarna hitam senada dengan baju kurung berbunga ros putih. Mereka bersalaman.

“Tak mengapa. Kami pun baru sampai. Ini Nadia, penulis yang saya uruskan,” kata Maimun lalu melakarkan senyuman.
Suhana dan Nadia saling menunduk hormat.

“Bagaimana dengan e-book dan buku yang tim saya sunting baru-baru ini? Laris?” soal Suhan selepas mengambil tempat menghadap dua tetamunya itu.

“Alhamdulillah, semuanya dapat sambutan. Malah buku yang diterbitkan semula itu mendapat pujian peminat dan pembaca Cik Nadia,” terang Maimun.

“Alhamdulillah, suka kami mendengarnya,” kata Suhana lalu menarik nafas lega. Kepuasan pelanggan adalah kepuasan pasukannya juga. Dia tidak mahu mereka mengambil upah mahal tetapi memberikan hasil tidak seberapa. Biar klien mereka berpuas hati apabila mendapatkan perkhidmatan syarikatnya.

“Setiap Transkrip Ada Cerita. Puan, boleh terangkan apa maksud transkrip?” langsung sahaja Nadia memuntahkan soalan.

“Ooo … transkrip? Transkrip itu kerja menulis semula ucapan atau percakapan orang lain ke bentuk teks,” jelas Suhana.

Memang ramai yang tidak tahu tahu ada pekerjaan seperti itu. Dan syarikatnya sudah lama melakukannya. Setakat ini sudah beratus audio atau video mereka tukarkan kepada teks. Klien juga datang daripada pelbagai bidang.

“Begitu rupanya. Tapi dahsyat jugalah syarikat ini, kan? Setakat buat editing, transkrip, boleh sewa pejabat ya? Kiranya besar jugalah pendapatan syarikat?” Nadia teruja ingin tahu.

“Taklah besar atau banyak setiap bulan, Cik Nadia. Adalah, Insya-Allah mencukupi untuk kami menampung sewa dan bayar gaji pekerja tetap di sini yang bertugas menjaga pejabat. Mereka yang buat kerja editing dan transkrip kami bayar ikut projek,” jelas Suhana tanpa berselindung.

“Ramai ke yang kerja dengan TA?” soal Maimun pula.



“Setakat ini ada 20 orang. Semuanya bekerja dalam pelbagai bidang. Daripada angka tu, 15 orang bekerja dalam negara dan lima orang lagi ada di luar negara. Orang kita juga, tapi mereka cari projek di negara-negara luar dan kami uruskan sehingga selesai,” terang Suhana yang teruja bercerita tentang syarikat yang diasaskan lima tahun dahulu. Kini, dia mampu tersenyum bangga kerana syarikatnya sudah berdiri sama tinggi dengan syarikat ghostwriter dari negara luar.

“Wah, hebat!” puji Nadia.
“Alhamdulillah. Berbalik pada urusan kita, apa yang boleh saya bantu?” Suhana meletak buku catatannya di atas paha. Dia menanti penerangan lanjut mengenai kerja yang diminta oleh klien di hadapannya itu.

“Oh ya, leka berbual sampai terlupa,” Maimun mengambil beg kerjanya. Dia membuka dan mengeluarkan satu manuskrip terbaharu tulisan Nadia. Sebiji pendrive diletakkan di atas manuskrip yang sudah siap diikat itu.

“Saya nak minta pihak puan edit manuskrip mentah ini. Dalam pendrive itu ada video temu ramah dan video promosi karya Cik Nadia. Saya nak minta team Cik Rahmah buat sari kata dalam bahasa Inggeris. Lagi satu saya bercadang nak buat terjemahan buku-buku Nadia. Saya sudah dapat pengedar di London dan USA. Mereka bersetuju memasarkan karya Cik Nadia asalkan diterjemah dahulu ke bahasa Inggeris,” cerita Maimun.

“Baik, saya lihat ada tiga tugas di sini. Pertama editing. Kedua transkrip dan buat sari kata. Ketiga, menterjemah manuskrip. Betul?” soal Suhana.

“Ya, Boleh, kan?” soal Maimun kembali.

“Oh, boleh. Itu memang kerja-kerja kami.”

Kalau begitu, saya tinggalkan kedua-dua barang ini. Untuk terjemah buku-buku yang lepas, nanti saya e-mel salinannya,” kata Maimun. Dia menarik nafas lega.

Nadia memandang wajah Maimun, hampir ternganga. Entah apalah yang dirancang oleh sepupunya itu. Banyak betul ideanya, sesuailah dengan jawatannya sebagai pengurus peribadi. Bukan setakat mengurus dirinya tetapi menguruskan perjalanan kariernya. Dia tidak akan menghalang selagi ia berguna untuk masa depannya dalam industri buku.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan pengurusan karya sehingga terbit. Kalau Cik Nadia dan Cik Maimun setuju syarikat kami uruskan sehingga selesai, kami sedia bekerjasama.” Tenang sahaja Suhana mencadangkan satu lagi perkhidmatan yang syarikat TA sediakan.

“Ada bayaranlah, kan?” soal Nadia.
“Sudah tentulah Cik Nadia, nama pun perkhidmatan,” kata Suhana.
“Jika begitu, baiklah. Kami setuju,” ujar Maimun tanpa bertangguh.

Nadia mengerut dahi. Dia memandang wajah Maimun yang bersahaja. Kerlingan matanya menyapa pandangan Maimun tetapi diabaikan. Hampir sejam mereka berada di pejabat itu, banyak urusan telah diselesaikan. Mereka menarik nafas lega setelah semuanya berjaya dirundingkan termasuk harga.

“Nanti selepas perjanjian siap, staf saya akan kirim melalui e-mel. Atau pihak Cik Maimun mahu datang dan tanda tangan di sini?” Soal Suhana sebelum menamatkan pertemuan hari itu.

Maimun cekap membalas, “Nanti kita bincangkan semula. Jika tarikhnya sesuai dengan kekosongan jadual, kami akan sampai. Jika tidak, kita berurusan secara maya sahaja.”

“Baiklah.”

Keluar dari pejabat itu, Nadia tidak menunggu lagi. Langkah kakinya diatur lembut namun tangkas. Nafasnya berhembus perlahan. Udara yang kurang segar dek kerana asap kenderaan membuatkan dia pantas menekup bahagian bawah muka sehelai sapu tangan. Namun, waktu itu udara di hatinya semakin segar. Perjalanan kariernya berjalan lancar dengan adanya Maimun dan kini dia ditemukan pula dengan syarikat Tinta Abidin ini. Nyaman!