Aku, Dia & Ghostwriter

Bab 3 : Idea Tersekat

Setengah jam menghadap laptop, rasa seperti sudah berjam-jam rasanya. Setiap aksara yang disusun bagaikan tidak kena. Tiada lagi kata-kata indah yang mampu ditulisnya. Sudah hilangkah ayat-ayat hidup yang sering menjadi isi dalam buku-buku tulisannya? Seperti orang yang tidak pernah menulis, tiada satu pun perkataan yang ditulis sedap dibaca. Hambar, kosong bagaikan tiada bernyawa.

Mana perginya kata-kata puisi, metafora, bombastik seperti dalam karya-karyanya terdahulu. Naratif yang tersusun bagaikan mati, tiada bernyawa. Kalau ada pun hanya nyawa-nyawa ikan. Keluhan berat terlahir dari mulutnya. Tergaru-garu kepala yang tidak gatal. Berasa sesak dan resah dalam hati.

Laptop yang terletak di ruang tamu bersambung dengan meja Maimun, PA-nya. Rentak jari juga terasa lemah apabila idea tidak bercambah. Puas ditanam, dikais dan digali, mati, mati, mati. Mati kutu namanya! Jerit Nadia dalam hati.

Gerak langkahnya serba tidak kena. Sekejap duduk, sekejap berdiri. Kemudian di ambil buku di rak buku yang tersusun semua karya-karyanya dan beberapa karya kawan-kawan baik yang seangkatan dengannya. Hembusan nafasnya terasa memberat, menghimpit jiwanya. Keresahan terpancar di sebalik wajah polosnya yang cuba mencari jalan keluar.

Kalau Maimun tahu keadaannya sekarang, pasti bebelan panjang akan terlahir keluar dari mulut sepupunya itu. Mana mungkin penulis kehilangan idea? Ada 37 juta manusia, sudah tentu ada 37 juta cerita. Ah! Dia apa tahu? Hanya tahu mengarah dan menyuruh buat itu, ini.

Bunyi pintu dibuka dan ditutup semula memberhentikan kata-kata hatinya yang sudah mula menjadi bebelan kepada diri sendiri. Cepat-cepat dia duduk semula di meja kerjanya. Wajah menghadap skrin. Jari-jemari diletakkan di atas papan kekunci. Seolah-olah dia sedang bekerja. Padahal jiwa tengah serabut.

“Hai! Sibuk nampak?” tegur Maimun ceria.

Di tangannya ada sekotak kertas A4 yang baharu dibeli. Dia meletak kotak itu di atas rak buku. Beg tangan diletakkan di atas meja. Dia duduk di kerusinya sambil menjulurkan kaki. Dipandang sepupunya seketika. Terlihat wajah orang yang tidak tenang disebalik senyuman manis gadis manis di hadapannya itu.

“Kau kenapa? Senyuman tak ikhlas. Ada yang tak kena atau ada sesuatu yang perlu aku tahu? Berapa peratus manuskrip kisah sejarah yang aku suruh kau tulis itu sudah siap? Masih tergantung di bab 3?” Soal Maimun bertalu-talu.

“Hish! Kau ni?” Nadia mengerut dahi. Jari-jemari masih di atas papan kekunci.

Maimun bangun dan mendekati penulis yang diuruskannya itu.

“Masih di bab tiga? Tidak bergerak pun sejak aku keluar tadi? Kau kering idea ya. Writers block?” Maimun membaca kembali bab 1 dan 2 tulisan sepupunya itu.

“Susahlah nak buat!” adu Nadia dengan wajah cemberut.

“Kan aku suruh kau buat kajiselidik, baca, baca tentang sejarah yang kau nak buat,” arah Maimun. Dia duduk semula di kerusinya. Matanya tidak lepas dari memandang Nadia yang terkulat-kulat di meja kerjanya.

“Macam mana ni?” soal Nadia mati akal.

“Kau janji dengan penerbit bila siap?” soal Maimun. Dia memusing-musingkan kerusi.

“Bu… bu… bulan hadapan siap,” jawab Nadia takut-takut.

“Gila! Tulis novel biasa pun sekurang-kurangnya enam bulan. Ini baru tiga bulan kau sudah berjanji bulan bintang. Aku tahulah syarikat percetakan itu ayah kau punya, tapi mutu kena jaga beb!” leter Maimun.

“Ala, aku ingat senang tulis fiksyen sejarah ni. Mana tahu sukar ya amat! Ayat langsung tak cantik! Macam mana ni? Nanti Pak Long marahlah!” Nadia menghentak-hentak kaki.

Maimun mengeluh. Inilah susahnya jaga anak orang kaya yang bercita-cita nak jadi penulis tersohor. Nasib baik berbakat. Kalau tidak buang masa, buang duit.

“Nasib baiklah buku-buku kau sebelum ini laris tau. Pak Long tak marah dengan tindakan kau nak juga jadi penulis sampai tak nak buat kerja lain. Kalau kau tak tunaikan kehendak pak long, aku takut dia tarik balik apa yang telah dia beri kepada kau. Aku tak apa, aku boleh cari kerja lain. Kau?” Leter Maimun lalu mencebik.

“Kau jangan takutkan aku! Bantulah aku!” jerit Nadia.

Maimun tersenyum.

“Nak tolong macam mana? Novel fiksyen sejarah kot? Takkan nak upah orang tulis dalam masa sebulan setengah? Kerja tak matang tu!”

“Habis tu? Aku tak pandailah tulis novel fiksyen sejarah ni. Susahlah. Kena buat penyelidikan. Kena banyak membaca. Peninglah!” keluh Nadia.

“Okey, aku bantu! Tapi kau kena beritahu Pak Long, kau perlukan masa tiga bulan lagi. Bermakna ada tempoh empat bulan setengah. Mungkin sempat siapkan. Mungkin!” Maimun mula mencari akal.

“Kau nak buat macam mana?” soal Nadia ingin tahu.

“Adalah…” Maimun menyengih.

Nadia terdiam. Apa pula akal sepupu aka PA-nya itu.

“Syarat ayah kena ada lima buah buku sejarah dan budaya. Aku nak tulis cerita apa? Kisah Hang Tuah? Kisah peperangan saudara antara pembesar di Perak dan Selangor? Ugh! Bukan mudah nak dapatkan maklumat,” luah Nadia.

“Kau carilah cerita sejarah yang mudah. Banyak di internet,” kata Maimun. Dia tidak mahu Nadia berputus asa.

“Tak bolehlah! Sudah dua minggu aku cuba. Cuba kau baca bab 1, apa kau rasa? Kau nak beli tulisan seperti itu?” soal Nadia.

Maimun mengiakan kata-kata Nadia. Cerita itu langsung tidak hidup. Hambar dan tidak menarik. Hanya bercerita tentang fakta sejarah. Sudah seperti membaca buku rencana. Maimun berfikir sejenak. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Nama seseorang bermain di fikirannya.

“Assalamualaikum TA Resouces?” Maimun tersenyum.

Dahi Nadia berkerut. Apa pula kali ini? Sudah enam bulan mereka bekerjasama dengan syarikat TA Resources. Setakat ini kerja-kerja yang diminta oleh dia dan Maimun berjalan lancar. Buku-buku tulisannya sudah hampir siap diterjemah. Akan diterbitkan dan dipasarkan ke luar negara oleh syarikat penerbitan ayahnya. Tidak kisahlah syarikat siapa, asalkan ada peluang. Rebut sahaja.

“Kau nak buat apa, Mun?” Soal Nadia.

“Cik Puan Suhana?”

“Upah ghostwriter? Penulis hantu? Aku tak tulis cerita hantu.” Nadia mengerut dahi.

“Hish! Ghostwriter bukan penulis hantulah atau tulis cerita hantu! Ghostwriter ini penulis upahan yang tulis untuk kau, dalam buku akan tulis nama kau. Mereka hanya ambil upah menulis cerita yang kau cadangkan. Bagaimana?”

“Kita upah penulis lain, tulis cerita aku?” Nadia masih kurang mengerti.

“Ya, ya… kita upah seorang penulis. Kita minta mereka menulis cerita fiksyen sejarah yang penerbit mahukan. Kita cuma perlu beri panduan, sinopsis yang mereka perlukan. Kerja-kerja lain mereka akan lakukan,” jelas Maimun.

“Berapa pula upahnya kali ini?” soal Nadia.

“Kalau tidak silap satu muka surat dalam RM50.00. Jika kerjanya lagi kompleks, lagi tinggilah bayarannya.” Maimun berkira-kira.

Mak ai! Boleh tahan?” Nadia terkejut.

“Kau kena faham Nadia. Kau cuma beri idea. Mereka yang garap dan tulis. Mereka yang lakukan kaji selidik. Mana boleh murah?” ujar Maimun.

“Kalau 100 muka surat? Mana nak cari duit?” soal Nadia.

“Duit royalti jualan buku kau kan ada? Gunalah dulu. Ini kan satu pelaburan?” cadang Maimun.

Nadia terdiam. Bukan sikit-sikit duit upah penulis menulis buku dia? Boleh percayakah penulis upahan ini bagus?

“Macam mana?” Maimun masih menunggu jawapan daripada Nadia yang masih terkebil-kebil mengira untung rugi pelaburan ideanya kepada penulis upahan ini.

“Kau takkan rugi apa-apapun, kecuali kena keluar duit saja,” kata Maimun masih memujuk.

Nadia berjeda.

“Baiklah. Aku ikut saja.” Nadia tidak ada jalan lain. Kalau dia tidak menyerahkan kerjanya kepada penulis upahan, dia takut manuskrip novel fiksyen sejarah ini takkan siap.

Penulis upahan ini hanya menulis untuknya, tetapi dibuku akan tertulis namanya sebagai penulis buku tersebut. Cuma, dia kena pastikan ada rentak penulisannya dalam kerja-kerja yang dilakukan oleh penulis upahannya.

Dia tidak mahulah peminatnya mengesyaki novel itu ditulis oleh orang lain. Nadia tersenyum lega, tidak sia-sia Maimun menjadi PA-nya.

‘Terima kasih TA’, bisik Nadia sendiri.