Sebelum menjadi pentranskrip secara profesional, saya tak tahu pun apa maksud transkripsi. Malah, saya tak tahu pun tugas menukar audio ke dalam bentuk teks yang saya buat dipanggil transkripsi.
Logik akal seorang pelajar tingkatan empat ketika itu, “Video kita kena letak subtitle. Senang orang nak faham dialog percakapan watak.”
Semakin dewasa dan terlibat secara langsung dalam menyediakan transkrip, barulah saya sedar dunia transkripsi ini luas dan tidak terhad kepada subtitle video semata-mata. Klien kami datang dengan pelbagai sebab.
1. Isi Konten Video Lebih Mudah Sampai kepada Audiens
Sebab yang pertama, transkripsi memudahkan isi konten berbentuk video sampai kepada audiens. Saya kira, poin ini sudah jelas tanpa perlu dihurai panjang.
Kita suka tonton video di mana-mana sahaja. Ada masa senggang, kita buka YouTube dan tengok dokumentari. Bosan menunggu giliran makanan di restoran, kita buka Facebook untuk tonton video-video menarik.
Pokok pangkalnya, kita suka menonton video. Dan watching experience menjadi lebih baik apabila disertakan subtitle. Tidak kira suasana sekeliling kita bising ataupun senyap, kita dapat enjoy konten video dengan bantuan subtitle.
2. Membantu Pengkaji daripada Keciciran Maklumat
Sebab kedua transkripsi membantu pengkaji daripada keciciran maklumat. Poin ini mungkin agak asing bagi sesetengah orang.
Sebenarnya, transkripsi sangat membantu pengkaji kualitatif yang memerlukan temu bual, soal selidik, pemerhatian dan rakaman untuk kajian mereka. Sumber-sumber seperti rakaman temu bual biasanya diberikan kepada pentranskrip untuk ditukar ke bentuk teks dalam format full verbatim. Maksudnya, segala percakapan, riak wajah dan emosi yang ditunjukkan oleh penyampai dalam video direkodkan dalam bentuk tulisan.
Dengan itu, pengkaji dapat memahami konteks percakapan dan memastikan tidak ada maklumat yang tertinggal. Semua pemerhatian dan percakapan semasa temu bual yang sudah direkodkan itu seterusnya membantu pengkaji menghasilkan kajian yang berkualiti dan bermanfaat untuk orang ramai.
3. Membantu Pendengar Lebih Fokus
Sebab yang ketiga, transkripsi membantu pendengar untuk lebih fokus.
Pernah dengar quotes ini?
“I wished every lecturer and every professor, when they talked in the classroom, could have subtitles.”
Ya, dalam diam kita sebenarnya berharap supaya ada subtitle ketika pensyarah mengajar di hadapan kelas. Walaupun mereka menggunakan bahasa Inggeris, bunyinya terdengar sangat asing. Sebabnya, setiap pensyarah menggunakan loghat dan kecepatan yang berbeza-beza.
Ada yang bercakap laju dengan accent Malaysia yang mudah difahami. Ada pula, bercakap dengan kecepatan yang selesa, namun accent-nya pekat dan sukar difahami. Kedua-dua keadaan tetap tidak kondusif untuk kita belajar. Lebih mudah jika ada subtitle. Tidaklah kita perlu meneka-neka apa yang diperkatakan pensyarah di hadapan kelas dan pastinya, lebih fokus kepada topik yang sedang diajarkan.
Jadi, tidaklah pelik apabila ramai antara kita memilih untuk belajar di platform seperti di Khan Academy dan Coursera berbanding masuk ke kelas yang dibayar. Kedua-dua platform ini bersungguh-sungguh meraikan para pelajar dari seluruh dunia.
Selain nota dan video kuliah, para pelajar juga dibenarkan untuk muat turun transkripsi kuliah bagi memudahkan proses ulang kaji. Ia juga membantu para pelajar dari golongan kurang upaya pendengaran untuk memahami topik pembelajaran.
Sebenarnya, ada banyak lagi sebab-sebab kenapa dunia perlukan pentranskrip. Transkrip sememangnya memudahkan kita untuk lebih faham apa yang kita tonton dan dengar. Setiap orang mempunyai suara, tona dan loghat yang berbeza.
Barisan huruf pula, bukankah kelihatan sama, datar dan boleh dibaca oleh semua orang?