Terus-terang, waktu menemukan pekerjaan yang dipanggil transkriptor ini, saya tidak berhenti-henti berfikir. Soalan pertama, adakah saya boleh menjadi pentranskrip bahasa Melayu yang baik?
Kedua, mengapa banyak bahan rujukan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia sahaja? Orang Malaysia tak buat ke kerja transkrip ni? Mustahil tak ada langsung Malay transcriber, kan?
Seterusnya, saya bertanya mengapa tak banyak yang kongsi pasal pekerjaan ini? Mengapa sangat sukar untuk saya mencari maklumat mengenainya dalam bahasa Melayu?
Kata mentor saya, jika tak ada yang buat, kita buatlah. Tidak perlu tunggu orang lain, kita cari dan sediakan maklumat yang kita perlukan itu.
Disebabkan itu, saya mula membaca sebanyak mungkin maklumat mengenai kerja-kerja pentranskrip yang ditemukan dan berlatih lagi, lagi dan lagi.
Tidak cukup dengan latihan, saya juga mendaftar kelas pentranskrip profesional yang harganya mencecah empat angka.
Maka, dengan ilmu yang ada dan atas alasan supaya orang-orang yang mencari cara untuk menjadi pentranskrip, saya mulakan perkongsian.
Saya mula berkongsi maklumat, baik di blog mahupun media sosial. Mengapa? Supaya lebih ramai yang tahu mengenai dunia transkripsi, kerja pentranskrip, dan menemukan rujukan untuk melakukannya dalam bahasa Melayu.
Mengapa Transkripsi?
Dalam banyak-banyak cabang dalam bidang pekerjaan pekerja bahasa, mengapa saya pilih transkripsi?
Sewaktu berkongsi dalam program “Dari Kalam ke Qalam” anjuran Pusat Islam USIM pada 19 Februari 2022, saya ada menyentuh hal ini.
“Demi pena dan apa yang mereka tulis.”
surah Al-Qalam, ayat 2
Ada empat faktor yang boleh digariskan, berdasarkan kepada ayat dua dalam surah al-Qalam iaitu penyebaran ilmu, meningkatkan kebolehcapaian, penyusunan konten dan profesional.
Saya kongsikan dua daripadanya dalam hantaran ini. Mari kita lihat satu per satu.
Penyebaran Ilmu
Bukan semua orang ada kesempatan dan kelebihan untuk mendengar atau menonton perkongsian melalui medium suara dan tontonan. Ini termasuklah rakaman audio dan video, video YouTube, audio siar, dan lain-lain.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO, sebanyak 5% penduduk dunia menghadapi kelainan upaya mendengar.
Namun, tidak semestinya golongan ini tidak dapat mengakses konten yang menggunakan suara sebagai medium utama.
Maka, apabila konten yang sama disalin ke bentuk teks, lebih ramai yang akan mendapat akses kepada maklumat berkenaan.
Salinan ini kemudiannya boleh dipindahkan ke bentuk lain sama ada tulisan Braille ataupun dicetak, seterusnya memungkinkan orang kelainan upaya mendapat peluang menggali ilmu serupa.
Kumpulan bukan penutur asal bahasa berkenaan juga akan memperoleh manfaat apabila isinya dikeluarkan dalam bentuk teks.
Meningkatkan Kebolehcapaian
Buat masa sekarang, teks masih menjadi sumber penting dalam mendapatkan jawapan daripada enjin carian. Atas sebab itu, konten audio dan video yang turut mempunyai teks lebih mudah dicapai.
Tahukah anda, ucapan 30 minit dalam bahasa Melayu akan menghasilkan teks yang mencecah sehingga 5,000 patah perkataan?
Dengan jumlah itu, anda akan ada banyak konten yang boleh dimanfaatkan untuk capaian SEO bagi laman web. Atas sebab ini juga, pemilik podcast memilih untuk berkongsi semula transkrip podcast mereka sebagai entri di web atau blog.
Bagaimana Mahu Bermula Menjadi Pentranskrip Bahasa Melayu?
Jadi, bagaimana mahu bermula? Jika belum pernah ada pengalaman, bagaimana mahu meyakinkan orang lain bahawa saya boleh melakukan pekerjaan ini?
Caranya, sediakan portfolio atau sampel.
- Cari video pendek di YouTube (kurang daripada 5 minit).
- Dengar sampai habis bagi memahamkan konten video secara sepintas lalu.
- Mula mentranskrip, salin perkataan demi perkataan.
- Dengar lagi sambil semak transkrip. (Minimum 2 kali)
- Betulkan setting format (font: saiz dan jenis, pilihan bahasa, warna huruf, alignment). Masukkan juga link video dalam dokumen teks.
- Baca pruf (baca kuat, mulakan dari perenggan/halaman akhir supaya anda lebih nampak sekiranya ada kesilapan ejaan.)
- Muat naik fail di Google Drive. Simpan sebagai portfolio/sampel karya.
PENTING:
Perhatikan dua perkara berikut:
- Rekod masa yang anda ambil untuk membuat transkrip bagi panjang audio/video berkenaan.
- Daripada maklumat ini, anda akan tahu anggaran TAT (turn around time) apabila prospek bertanya.
- Perhatikan panjang manuskrip/transkrip yang diperoleh daripada sela video yang dipilih.
- Daripada sini, anda dapat beri anggaran sekiranya prospek bertanya untuk kerja-kerja seterusnya yang memerlukan kiraan mengikut jumlah perkataan/halaman (terjemahan, suntingan, dll).
Menggunakan info ini, anda boleh letak anggaran caj upah bagi kerja transkripsi yang akan dibuat.
Nampak caranya?
Sanggup atau tidak?
Jika ya, dan anda cukup sabar untuk melakukannya, maka mulakan dan jalan terus.
Selamat mentranskrip!
Membantu? Kongsikan juga post ini supaya rakan lain yang mencari jalan mendapat manfaatnya.
Buat tuan puan yang mencari servis pentranskrip, TA boleh dihubungi melalui pautan ini.