Aku, Dia & Ghostwriter

Bab 1: Tersilap Langkah

Hembusan nafasnya kasar, hidungnya kembang kempis melepaskan haba marah yang membakar setiap inci hati. Bernanah rasa jiwanya, seperti hendak terputus nyawa. Jantungnya seperti terhenti berdegup! Paru-paru mengepam rasa hampa memuntahkan seribu kekesalan. Aliran duka mengalir laju membanjiri sanubari yang hancur ditetak dengan rakus oleh mereka yang bergelar pembaca.

Inikah hadiah yang dia terima?

Inikah yang dikatakan peminat sejati?

Bukan sekali, malah berkali-kali. Semangat yang setinggi Gunung Kinabalu dicangkul sehingga menjadi tanah dataran. Begitulah yang dia rasakan ketika itu.


Buku kelimanya teruk dikritik oleh pembaca yang menjadi pengikutnya selama ini. Buku-buku yang diterbitkan sebelum ini tidak menjadi masalah. Dia cuba bertukar genre. Cuba bertukar tema. Disangkakan mereka boleh menerima apa sahaja. Asalkan ada cerita, dia boleh tulis apa sahaja. Apa isinya? Bagaimana tekniknya? Dia tidak pernah ambil pusing. Kali ini dia bawa genre seram, tapi kisah seramnya tidak menjadi sebaliknya menjadi karya yang membosankan.

Penulis baharu sepertinya kalau berjaya menjual 500 naskah bagi cetakan pertama, itu sudah cukup lumayan. Namun, akhir-akhir ini jiwanya seperti dihambat ingin segera menerbitkan novel terbaharu, lagi dan lagi. Apa yang penting ada pembeli dan pembaca yang sudi mendapatkannya.

Sebelum ini mereka tidak kisah pun bagaimana ayat dalam novelnya. Selama ini mereka tidak pernah ambil tahupun jika ada ejaan, tatabahasa atau tanda bacaan yang salah. Malah pujian melambung-lambung setinggi Gunung Tahan. Bak pisang goreng panas novelnya laris di pasaran.


Dia sangat bangga dengan dirinya. Kepuasan yang tidak terucap dengan kata-kata. Tidak dipedulikan pelanggaran tatacara penulisan. Tidak dihiraukan rosak bahasa akibat dirojakkan. Bagi dirinya itu perkara biasa. Ramai penulis di luar sana melakukan perkara yang sama. Apa dipedulikan tatacara penulisan asalkan buku laris terjual.

Apa dia kisah cakap-cakap dan sindiran tajam daripada penulis senior yang dirasakan sangat cemburu dengan kejayaannya. Dia ada ramai peminat, pembaca dan pengikut. Tidak seperti penulis senior yang suam-suam kuku. Ada hati nak mengajar dia? Siapa lebih hebat, dia atau mereka?


Begitulah yang dia rasakan saat diangkat dan dijulang tinggi oleh para penyokong. Jangan ada sesiapa mengkritiknya, pasti dia akan disokong oleh pengikut dan pembacanya. Orang yang mengkritiknya akan dijunamkan ke dasar jurang yang paling dalam sehingga tidak mampu mendaki kembali.


Namun, situasi kali ini sangat berbeza. Mereka yang menjadi pengikut dan pembacanya sendiri mengkritik dan mencampakkan karya terbaharunya ke dalam gaung sehingga tertimbus dengan daun-daun kering, reranting patah yang sukar untuk ditemui jejaknya lagi.

Kenapa jadi begitu?

Ah! Tentu ada yang menabur pasir ke dalam periuk nasinya. Tentulah mereka cemburu dengan kejayaannya sebelum ini. Itu sebab mereka tidak segan-silu membunuh karyanya yang terbaharu.

“Kau kena terima kenyataan, kali ini teruk sangat typonya! Adakah kau berkhayal semasa buat suntingan?” Marah rakan sepasukannya.


Nadia terdiam. Memang kali ini dia agak gopoh. Tidak sempat memeriksa atau menyunting semula karyanya itu semata-mata mengejar PBAKL. Dia ingin ada buku baharu seperti ramai penulis yang lain. Dia ingin turut sama meraikan hari raya untuk penulis sepertinya. Hari itu adalah hari yang sangat sesuai untuk dia bertemu dengan peminat, pembaca dan pengikutnya.


“Satu lagi, plot entah apa-apa! Jalan cerita jadi berbelit sampai orang tak faham! Kenapa tak lantik editor? Kenapa kau uruskan semuanya sendiri? Sebelum ini, biasanya kau akan minta khidmat aku untuk suntingan.” sambung rakannya itu sambil mencampak buku-buku yang dipulangkan balik oleh pembacanya.

Mereka marah. Mereka kecewa dengan karya yang penghasilannya bagaikan melepaskan batuk di tangga.


“Ini, hubungi syarikat ini. Mereka boleh buat suntingan dengan cepat. Dalam seminggu boleh siap! Mereka ada pasukan yang profesional untuk mengedit manuskrip novel.” Kad nama yang tertulis info berkaitan syarikat servis penulis konten itu bertukar tangan.


Nadia memandang kad nama itu agak lama. Mahu atau tidak dia terpaksa menghantar manuskrip novelnya itu kepada editor yang berpengalaman. Ini melibatkan maruah dan harga dirinya sebagai seorang penulis!


“Kita cetak semula setelah kerja-kerja suntingan selesai. Aku bagi amaran, kau jangan buat macam ini lagi!” Suara Maimun lembut tetapi bernada tegas.


“Mun, maafkan aku,” kata Nadia dengan wajah kesal.


“Tak perlu minta maaf pada aku. Kau kena minta maaf kepada peminat kau. Buang rasa kecewa. Hubungi tim TA itu. Mereka akan bantu kau. Kau boleh minta mereka siapkan buku itu segera. Mereka boleh uruskan dari editing sehingga buku itu siap dicetak. Kau kena bersihkan nama baik kau,” nasihat Maimun dengan wajah tenang.


“Lain kali aku tidak akan ulang kesalahan serupa. Kau yakin yang mereka ini profesional?” soal Nadia masih ragu-ragu.


“Sebenarnya, mereka yang terbitkan e-book novel-novel kau yang lama. Aku sudah uruskan dengan mereka dan esok aadalah hari pelancarannya. Upah yang dikenakan tidak terlalu mahal, memang berpatutan. Aku suka servis mereka. Cepat dan sangat bagus. Tidak bertangguh buat kerja. Ikut tarikh yang diberi dengan jayanya.” Beritahu Maimun panjang lebar, siap dengan sebakul pujian lagi. Ternyata dia amat berpuas hati dengan servis tim TA.


Nadia memandang kad tersebut berkali-kali. Kali ini dia tidak akan pandang belakang lagi. Nama baiknya sebagai seorang penulis swaterbit tidak akan dikotorkan lagi. Biar hasil karyanya sesuci salju. Menarik jalan cerita, sedap dibaca. Biar dirinya nampak lebih profesional. Tidaklah dia dituduh sebagai penulis tangkap muat atau penulis caca merba.

‘TA, tunggu aku datang!’ Detik hati kecil Nadia.