Tip Menyediakan Portfolio Pentranskrip

Portfolio adalah cara mudah untuk memperkenalkan diri, kemahiran dan kebolehan anda dalam melakukan kerja-kerja sebagai penulis upahan terutama sebagai seorang pentranskrip.

Portfolio pelajar sudah tentulah berbeza dengan portfolio kerja. Portfolio kerja berisi maklumat seperti pengenalan diri, kemahiran, kebolehan, kerajinan dan bkti tentang pekerjaan yang anda lakukan sebelum ini. Ia perlu ditunjukkan kepada bakal pelanggan jika diminta.

Bagi membina portfolio pentranksrip, ikuti tip berikut:

1. Himpun Bahan

Resume

Bakal klien sudah pasti ingin mengetahui latar belakang anda secara ringkas. Masukkan dalam portfolio tentang diri anda, kelulusan, kelayakan, pendidikan, pengalaman yang berkaitan dan perakuan daripada senarai klien jika ada. Untuk info peribadi, masukkan maklumat ringkas diri seperti: Nama penuh, nama pena (jika ada), page media sosial, nombor telefon, e-mel.

Senarai Kemahiran Mentranskrip

Sediakan contoh jenis-jenis transkrip yang boleh dan pernah anda lakukan. Jika tiada, ambil video atau audio di YouTube, transkrip dan sediakan untuk ditunjukkan kepada bakal klien.

Bukti Sijil, Lesen atau Perakuan

Biarpun sudah diisi pada bahagian resume, anda perlu juga menunjukkan perkembangan anda dalam industri pentranskrip. Boleh juga dimasukkan bersama sijil-sijil kursus yang anda hadiri, bersesuaian dengan tugas anda sebagai seorang pentanskrip profesional.

Surat Cadangan, Rujukan, Testimoni dan Ulasan

Dapatkan bantuan bekas pelanggan anda untuk memperakui projek-projek yang pernah dilaksanakan. Letakkan gambar, ringkasan projek atau laporan dalam portfolio. Paling penting, ada testimoni daripada pelanggan-pelanggan bagi meyakinkan pelanggan baharu untuk mengupah anda.

Penghargaan dan Pencapaian

Jika pernah memperoleh penghargaan atau pencapaian dalam bidang berkaitan, senaraikan juga. Ini menjadi penguat bagi meyakinkan pelanggan anda.

2. Susun Bahan

Atur portfolio supaya pelanggan dapat mencari maklumat dengan mudah.

Letakkan resume, biodata, biografi di bahagian awal portfolio. Kemudian diikuti dengan maklumat yang lain. Susun mengikut logik dan memudahkan pelanggan membaca dan meneliti portfolio dengan mudah. Letak nombor pada setiap halaman.

3. Kekemasan Portfolio

Kekemasan portfolio melambangkan diri anda. Anda boleh mereka cipta kulit untuk portfolio tersebut sekiranya ada kemahiran menggunakan perisian seperti design. Jika tidak, manfaatkan app seperti Canva yang mempunyai template khusus untuk portfolio.

Anda juga boleh gunakan folder atau casing yang sesuai. Terdapat pelbagai jenis casing atau folder berada di pasaran. Lindungi halaman dengan penutup halaman yang jelas. Bagi pembahagian tajuk, gunakan kertas berlainan warna. Lebih elok gunakan tulisan yang dicetak supaya lebih cantik dan kemas. Elakkan guna tulisan tangan.

4. Portfolio Digital

Selain memfail, membuat folder, anda boleh juga menggunakan perkhidmatan portfolio digital yang terdapat dalam talian. Dengan adanya portfolio digital, lebih mudah untuk anda mempromosikan perkhidmatan melalui media sosial. Iklankan diri dan perkhidmatan anda setiap masa di media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan blog. Atau, anda boleh juga membina web sendiri.


Bagaimana dengan tip yang kami kongsikan?

Membina portfolio pentranskrip mudah sahaja, bukan? Kuncinya, rajin. Apa pun, selalu kemas kini portfolio anda dengan maklumat terkini. Jika perlu, buat juga beberapa salinan agar mudah diberi kepada pelanggan jika diminta ketika proses pitching.

Tidak tahu macam mana nak design portfolio? Kumpulkan sahaja maklumat anda dan hubungi penyedia servis konten sekiranya perlukan servis design.