5 Kepentingan Terjemahan Sari Kata

Mengapa Sari Kata Penting?

Masyarakat hari ini, gemar meluangkan masa menonton video dalam talian tanpa mengira usia dan pangkat. Tujuannya pelbagai. Ada yang menonton untuk mendapatkan maklumat, ada yang mahu mempelajari sesuatu dan ada juga yang mencari resipi-resipi masakan atau sekadar berhibur.  Bak kata orang sekarang, layan YouTube

Dalam kalangan pembuat konten pula, media baharu ini dapat dimanfaatkan bagi menyalurkan ilmu, mempromosi perniagaan malah menyampaikan dakwah. 

Pernahkah anda terfikir mengapa video yang dihasilkan tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan?  

Bagaimanakah penggunaan sari kata dan kapsyen dapat mempengaruhi kejayaan sesuatu konten?  

Sebelum kita mengupas perkara ini, wajarlah kita mengetahui maksud sari kata. 

Apa Itu Sari Kata?

Menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat), sari kata adalah terjemahan dialog dalam filem yang disiarkan serentak dengan tayangan filem berkenaan.

Kamus Pelajar Edisi Kedua pula mentafsirkan sari kata sebagai terjemahan dialog daripada filem asing yang terdapat pada bahagian bawah skrin.

Tetapi pentingkah sari kata ini?

5 Kepentingan Sari Kata

Mengapa sari kata ini perlu dan penting sehingga ada cabang kerjaya yang disebut sebagai penterjemah sari kata?

Ya, penterjemah sari kata berperanan menterjemah sesuatu dialog ke bahasa sasaran, sesuai dengan konteks tempatan supaya konteksnya sesuai dan lebih mudah difahami oleh pembaca sasaran (penonton).

Mari kita lihat, kepentingan sari kata bagi sesebuah siaran video.

1. Menjadikan konten lebih jelas

Memadankan kandungan video dengan kapsyen atau sari kata dapat memperjelas konten sesebuah cerita dan menjadikannya lebih mudah difahami. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan bahasa teknikal, pasti ada istilah bidang yang jarang atau kita tidak pernah dengar, seperti istilah bidang sains, perubatan atau perundangan.

Penggunaan sari kata juga amat membantu dalam memahami sebutan yang tidak jelas atau ayat dengan loghat yang pekat. Tentu anda pernah mengalami keadaan seperti ini, tertanya-tanya apa perkataan yang disebutkan dalam sesuatu babak atau video. Waktu begini, kita akan berharap supaya ada sari kata yang dapat membantu.

2. Capaian (reach) yang tinggi 

Sari kata pada paparan skrin dapat menarik minat lebih ramai pengguna dari pelbagai latar belakang bangsa, budaya dan bahasa pertuturan. Dengan cara ini, konten tersebut akan diakses oleh lebih ramai audiens termasuklah audiens antarabangsa.

Sebagai contoh, drama Squid Game telah mengungguli carta sebagai rancangan yang paling banyak ditonton di 94 buah negara. Begitu juga dengan filem Kuch Kuch Hota Hai, yang telah membuat ramai orang menangis. Sebabnya, penonton dapat menghayati penceritaannya apabila membaca sari kata.

Penggunaan sari kata juga membawa manfaat yang amat besar kepada individu yang mempunyai masalah pendengaran atau orang kelainan upaya (OKU) pendengaran. Mereka turut berpeluang memahami dan menikmati cerita yang ditonton.

3. Pilihan penonton masa kini 

Kebanyakan pengguna masa kini memilih untuk menonton sesuatu video dalam mod senyap (mute), terutamanya dalam persekitaran yang tidak membenarkan kita membuat bising seperti di pejabat, perpustakaan atau ketika sedang menidurkan anak kecil. Tentunya, konten yang mempunyai sari kata mendapat lebih klik.

Boleh jadi, anda perlu menonton dalam suasana yang bising seperti di tempat awam atau pusat membeli-belah. Sekali lagi, kita akan lebih suka apabila ada konten yang mempunyai sari kata.

4. Meningkatkan kemahiran berbahasa

Kamsahamnida! 

Tentu anda sudah biasa mendengar perkataan ini dan dapat memahami maksudnya. Ini adalah contoh paling jelas bagi menggambarkan betapa besarnya pengaruh tontonan video bersari kata. Melaluinya, kita dapat mempelajari pelbagai bahasa. Kekerapan menonton siaran dalam bahasa pilihan membolehkan kita memahami sedikit sebanyak bahasa pertuturan tersebut.

Selain itu, pembacaan sari kata juga membantu kemahiran berbahasa dengan cara membaiki kelancaran pembacaan (speed reading), kefasihan serta memperkaya perbendaharaan kata. Selain itu, ia turut membantu kita menguasai kemahiran mendengar.

5. Meningkatkan engagement dan ranking

Paparan sari kata yang betul dan tepat akan memberikan pengalaman yang baik kepada pengguna, menyebabkan mereka akan menghargai konten anda dan menonton sehingga ke akhir siaran.

Pengalaman itu akan merangsang mereka untuk berinteraksi dan memberikan maklum balas (engagement) yang baik sama ada dalam bentuk share, likes atau comment.

Engagement yang tinggi dapat meningkatkan skop indeks carian dan secara tidak langsung melonjakkan ranking hantaran anda. Sebabnya antara aspek yang diguna pakai oleh enjin carian adalah kepuasan hati pengguna serta tempoh mereka melayari sesuatu konten. Ini dapat diukur melalui kadar engagement dan masa yang digunakan untuk menikmati konten.

Indeks carian yang tinggi menjadikan konten anda lebih mudah dicari oleh enjin carian.


Sari kata melengkapkan pengalaman menonton bagi seseorang pengguna. Ia bukan sekadar tulisan yang menjadi penghias skrin. Sari kata membantu kefahaman khalayak pengguna tentang sesuatu konten.

Maka, tambahkan sebab untuk video anda dicari melalui sari kata. Tak perlu pening kepala untuk buat sendiri, kami di TA Resources sedia membantu!