Cabaran dan Manfaat Penterjemahan

“Nampak sedap dessert tu, tapi tak fahamlah dalam bahasa Inggeris. Apalah bahan dia pakai ya?”

“Macam mana nak isi borang ni? Dalam bahasa Inggerislah ….”

Ada pelbagai situasi yang mungkin ramai terdetik alangkah baiknya ada terjemahan bahasa Melayu.

Apa Fungsi Terjemahan?

Terjemahan ialah proses menyampaikan ilmu daripada bahasa sumber ke bahasa sasaran supaya pembaca sasaran yang baharu dapat memahami dan mempelajari sesuatu.

Cabaran Kerja Penterjemahan

Kerja terjemahan sebenarnya agak mencabar kerana penterjemah perlu mempunyai kemahiran untuk menggunakan kosa kata yang bersesuaian. Hal ini penting supaya pembaca faham dan pada masa yang sama, maklumat penulisan sumber sampai kepada pembaca.

Baik terjemahan hiburan mahupun ilmiah, penterjemah tetap perlu memiliki ilmu penterjemahan untuk memastikan penyampaian artikel sumber masih dijaga dalam bahasa sasaran.  

Kalau artikel itu berkaitan dengan topik sukar atau niche, ditambah pula dengan istilah tertentu, lagi mencabar untuk penterjemah bagi memastikan istilah tepat digunakan.  

Penterjemahan sastera pula lebih sukar kerana bahasa sumber mungkin menggunakan simpulan bahasa atau peribahasa yang sesuai di negaranya tetapi terbatas dengan keadaan budaya dan sosial kita di sini. Jadi penterjemah perlu berhati-hati dan tidak sambil lewa menterjemah secara bulat-bulat.

Manfaat Terjemahan

1. Menambah koleksi buku dari luar negara  

Jika anda seorang pembaca tegar buku bahasa Melayu, pastinya koleksi buku-buku terjemahan dari luar negara dinanti-nantikan.

Misalnya permintaan buku bahasa Arab, Inggeris dan Cina diterjemah ke bahasa Melayu, menarik bukan?

Boleh juga tengok contoh buku fiksyen. Terjemahan buku mendapat sambutan terutama buku-buku popular dari luar negara seperti Sherlock Holmes karya Sir Arthur Conan Doyle.

Siapa yang tak tahu Sherlock Holmes?

Cerita penyiasatan yang bijak dan menghiburkan, mempunyai rangkaian penerbitan dalam bentuk filem dan drama bersiri di televisyen. Kini sudah ada karya terjemahan buku ini dalam bahasa Melayu.

2. Perkongsian teknologi dan pendidikan

Kepentingan terjemahan ini boleh dilihat dari sudut lebih serius seperti teknologi dan pendidikan.

Orang Jepun yang mahir dalam bidang teknologi dan sains juga belajar dari negara lain untuk menginovasikan teknologi yang ada. Jadi tidak pelik mereka mempunyai industri penterjemahan yang rancak. Banyak buku bahasa lain diterjemah ke dalam bahasa Jepun. Rakyatnya pula memang kita ketahui suka membaca.

Dalam bidang pendidikan pula, buku akademik dan buku ilmiah kebanyakannya ditulis dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa dominan. Ia menjadi sumber rujukan di institut pengajian tinggi.

Bayangkan jika kertas-kertas kajian ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

  • Ramai penuntut dapat mempelajari laporan kajian tersebut.
  • Researcher boleh meluaskan hasil carian.
  • Penuntut di peringkat Master dan PhD boleh merujuk dan membuat analisis terhadap kertas kajian yang telah diterjemahkan.

Besar manfaat dan kepentingan terjemahan ini jika kita betul-betul buka mata. Boleh dikatakan hampir semua bidang memerlukan penterjemahan.  

3. Pertukaran sosial dan budaya negara lain

Lihat pula fenomena Korea atau Korean Wave, ramai ingin belajar bahasanya. Malah orang Korea juga mula berminat mempelajari bahasa Melayu.

Minat yang mungkin timbul daripada tayangan filem dan drama, boleh memupuk minat ke arah sosial dan budaya sesuatu bangsa.

Khidmat terjemahan secara jelas ibarat jambatan ilmu kepada dua bangsa untuk mengenali dan memahami lebih mendalam. Ia seperti merapatkan jurang perbezaan antara dua negara.

4. Keperluan Bisnes

Pemilik laman web bisnes dan blogger juga boleh mengupah penterjemah untuk perkongsian servis dan perkhidmatan dari bahasa lain ke bahasa Melayu. Ada juga web bisnes yang mempunyai dwibahasa sebagai medium komunikasi laman web mereka.

Mereka memberi pilihan dan keselesaan kepada  pelanggan untuk melayari web sama ada bahasa Inggeris atau Melayu. Malah ada yang menyediakan tambahan bahasa Mandarin untuk kemudahan pelanggan mereka.

Terjemahan dalam perniagaan boleh membantu sebagai strategi untuk menarik pelanggan lebih ramai dari luar negara dan menyediakan perkhidmatan pelanggan yang lebih mantap.


Penutup

Penterjemah yang bagus ibarat pengantara antara sumber dan penerima. Daripada pembaca yang tidak tahu bertukar menjadi lebih tahu. Tugas penterjemah juga merapatkan jurang ilmu pengetahuan atau boleh dipandang sebagai ejen komunikasi.

Banyak manfaat penterjemahan sebenarnya kepada masyarakat. Karya penterjemahan sama penting seperti menulis sebuah artikel atau manuskrip kerana kunci utama ialah masih tetap mahu menyampaikan maklumat.

Di TA Resources, kami menyediakan servis terjemahan untuk dua pasangan bahasa iaitu bahasa Inggeris – bahasa Melayu, serta bahasa Indonesia – bahasa Melayu. Perlu bantuan? Terus hubungi kami hari ini.