Oleh: Yan Yahaya
Bahasa adalah medium komunikasi yang amat penting. Bagi keadaan dua individu yang berbeza penguasaan bahasa, penterjemahan menjadi aspek unggul untuk menyampaikan maksud dan maklumat. Satu hal lain yang perlu dititikberatkan adalah ketepatan terjemahan itu sendiri. Penterjemahan maklumat daripada pihak A perlu dipersembahkan dengan nuansa yang bermakna kepada pihak B, begitu juga sebaliknya. Ini bersangkut paut dengan budaya, adab, kepelbagaian maksud perkataan dan lain-lain.
Apakah yang berlaku jika keupayaan proses penterjemahan dan juga penerimaannya lemah? Mari kita semak kes-kes kelemahan dalam penterjemahan dalam sejarah yang telah mengubah dunia.
Contoh Kes
Giovanni Schiaparelli dan canali
Pada tahun 1877, seorang ahli astronomi berbangsa Itali, Giovanni Schiaparelli telah menyatakan penampakan garisan ‘canali’ pada permukaan planet Marikh. Dia memaksudkan sebahagian landskap yang berlekuk SEPERTI laluan air. Namun, rata-rata penterjemahan yang dilakukan mengubah maksud kepada sistem binaan pengairan atau terusan ke dalam bahasa-bahasa lain. Walau ada usaha untuk membetulkan, nampaknya fantasi ada makhluk asing yang membina terusan tersebut adalah lebih seronok dikisahkan. Inilah punca teori wujudnya kehidupan di planet itu sehingga ke hari ini.
Willie Ramirez dan intoxicado
Kes profil tinggi Willie Ramirez pada tahun 1980 berlaku di sebuah hospital di South Florida. Dia yang berusia 18 tahun itu telah dibawa ke sana dalam keadaan koma. Ibunya yang berkomunikasi dalam bahasa Sepanyol menyebut perkataan ‘intoxicado’, bermaksud Willie sudah memasukkan racun ke dalam badannya. Namun kesilapan penterjemah dengan maksud perkataan itu menyebabkan doktor tersilap merawatnya sebagai pesakit yang lebih dos ubatan. Hasilnya, Willie menjadi kuadriplegik (lumpuh kaki dan tangan) seumur hidup. Keluarganya telah menyaman pihak hospital dan menerima pampasan sebanyak US$71 juta.
Morozoff dan Valentine
Satu lagi kes popular adalah tentang budaya menyambut Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun. Sebuah syarikat dari Amerika, Morozoff, yang menjual coklat pada tahun 1950-an ingin memperkenalkan sambutan hari ini ke negara Jepun. Walau bagaimanapun, pekerja tempatan telah tersilap faham sehingga coklat itu dibahagikan kepada wanita sahaja.
Akibat daripada kesilapan terjemahan pada kempen tersebut, kaum wanita di Jepun memahami yang tarikh tersebut adalah sebagai hari memberi coklat kepada lelaki kesukaan mereka. Budaya ini masih dikekalkan di Jepun (juga Korea Selatan) dengan tambahan; wujudnya Hari Putih (White Day) pada setiap 14 Mac yang membolehkan pihak lelaki pula memberi coklat kepada wanita kesayangan mereka.
Bagaimana dengan kesilapan penterjemahan mengakibatkan bencana yang meragut banyak nyawa?
Kantaro Suzuki dan mokusatsu
Pada bulan Julai, 1945, dalam satu pertemuan di Potsdam, Jerman, negara-negara bersekutu telah menyatakan deklarasi kesediaan berundur daripada kemelut Perang Dunia II dengan beberapa syarat. Mereka menunggu penuh debar semasa maklumat hasil persidangan itu diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Jepun. Namun salah satu syarat tersebut telah silap diterjemahkan dengan menyatakan yang jika pihak Jepun memberi sebarang jawapan yang negatif, ia akan dianggap sebagai mengundang ‘kemusnahan yang luar biasa dan segera’.
Pernyataan Perdana Menteri Jepun, Kantaro Suzuki, pula pada waktu itu menyebut perkataan ‘mokusatsu’ yang antara lain bermaksud ‘tiada komen’ atau ‘saya tidak akan memberi komen pada waktu ini’. Media dan agensi penterjemahan telah menterjemahkan maksud kepada ‘tidak akan ambil tindakan’ atau ‘abaikan’. Terjemahan kata ini telah dilihat sebagai satu usaha mengabaikan langsung, tidak layak untuk mendapat komen atau menolak terus deklarasi awal tadi. Akibatnya, peristiwa dahsyat pengeboman nuklear di Hiroshima berlaku 10 hari kemudian dan menjadi satu sejarah hitam dunia. Ini tentunya satu kes kesilapan memahami maklumat melalui penterjemahan yang sangat dikesalkan dan membunuh lebih 70,000 nyawa pada ketika itu.
Kesimpulan
Berdasarkan kes-kes yang dinyatakan di atas, ketepatan menterjemahkan maklumat adalah sangat penting bagi memastikan setiap maksud yang kritikal itu dapat dialihkan ke bahasa sasar dengan sebenar-benarnya. Kecuaian atau ketidakacuhan dalam melaksanakannya boleh mengundang bencana dan kemusnahan.
Tidak pasti dengan terjemahan anda? Hubungi TA Resources untuk servis suntingan atau pruf.